Tuesday, August 31, 2010

Golongan Penentang Utama PPSMI

Golongan penentang utama PPSMIiaitu Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP), Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) dan aktivis Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) harus mengkaji secara komprehensif kedudukan yang mereka ambil. Ini kerana kegagalan mereka, terutama DBP untuk memperkasakan Bahasa Melayu dengan bahan dan terma rujukan ilmu dan applikasi sains dan teknologi, termasuk kejuteraan dan ICT sebenarnya member sebab mengapa PPSMI perlu ujud dan dilaksanakan. Kecenderungan mereka mem’politik’an isu ini menunjukan jelas kegagalan mereka memberikan fokus agar Bahasa Melayu itu sendiri diperkasakan, sesuai dengan keperluan dinamism dunia globalisasi hari ini.


Tidak dapat tidak, jika diperhalusi, mereka yang begitu gigih dan tegar menentang PPSMI ini sebenarnya berjaya dibangunkan melalui sistem pembelajaran medium Bahasa Inggeris juga. Ramai dikalangan mereka mendapat pendidikan luar negara, termasuk peringkat sarjana kerana kemampuan mereka menguasai Bahasa Inggeris dan peluang yang dibuka kerana kemampuan ini.

Jika dikaji, sekiranya orang Melayu berhasrat untuk membangun dan maju setaraf dengan bangsa lain, terutama Barat dan Asia Timur, terletak pada penguasaan dan kecekapan dalam ilmu dan applikasi sains dan teknologi dan bukan sastera dan sains sosial, sebagaimana kelulusan majoriti para aktivis GMP, GAPENA dan DBP.

Kesan mendedah dan memberikan cabaran kepada pelajar Melayu untuk menguasai sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris seawal peringkat sekolah rendah sebenarnya akan memberikan mereka kelebihan dan kemampuan bersaing dan kompetitif. Ini sebenarnya secara strategiknya akan meningkatkan keupayaan pelajar, terutama dalam cabaran peringkat universiti dan saujana.

Sebelum PPSMI diperkenal dan laksanakan, kedudukan kualiti sekolah kebangsaan ialah lebih rendah berbanding dengan sekolah vernakular. Ramai Bukan Melayu memberikan tumpuan untuk mendapatkan pelajaran di sekolah vernakular dan kedudukan ini sebenar berubah ketara semenjak PPSMI. PPSMI juga menenggelamkan aktivis dan chauvinis Bahasa Mandarin kerana pelajar Bukan Melayu kini mempunyai alternatif yang berwibawa peningkatan kemasukan Bukan Melayu ke sistem sekolah kebangsaan mula menampakan kesan positif yang memberangsangkan.

Kerjasama GAPENA dan aktivis DBP dengan chauvinis Cina Dong Zong dalam GMP untuk menentang PPSMI juga membinggungkan. Namun begitu, semasa Kerajaan DAP Pulau Pinang berhasrat untuk memberikan ruang kepada bahasa Mandarin dan Tamil dalam semua papan tanda tidak ditentang oleh golongan yang kunun kunun “Pejuang Bahasa” ini, maka boleh dirumuskan bahawa tindakan mereka ini sebenarnya cuba menangguk di air keruh, sehingga sanggup bersekongkol dengan chauvinis Cina seperti Dong Zong.

Hujah dimana bangsa maju seperti Jepun, Korea, Jerman dan Perancis mampu menguasai ilmu dan applikasi sains dan teknologi dalam bahasa ibunda mereka ini menjadi kurang relevan, terutama dalam era globalisasi ini. Mereka sebenarnya sudah berubah dan kini memberikan penekanan serious dalam Bahasa Inggeris, terutama banyak bahan dan manual, terutama ICT dan kejuteraan teknologi tinggi memerlukan penguasaan Bahasa Inggeris dengan baik. Perubahan ini begitu ketara sehingga negara seperti Perancis, yang secara tradisinya begitu anti Inggeris kini mensyaratkan bahawa lulus Bahasa Inggeris merupakan syarat untuk meningkat tahap dalam sistem persekolahan mereka.

Penguasaan baik Bahasa Inggeris juga meletakan guna tenaga pekerja Malaysia mempunyai kedudukan lebih baik dan mudah dipasarkan berbanding Thailand, Indonesia, Vietnam dan China, walaupun kos pengajian jauh lebih tinggi diMalaysia. Ini jelas dalam industri berdasarkan applikasi sains dan tekonologi.

Apa guna menjadi ‘Jaguh Kampung’ semata mata jika keberkesanan guna tenaga orang Melayu hanya relevan dalam tanahair sendiri sahaja. Mengambil kedudukan yang merugikan Bangsa Melayu secara strategik ini akan mengakibatkan “Menang sorak, kampung tergadai”. Memang benar “Bahasa itu jiwa bangsa”, tetapi sekiranya bangsa itu terpinggir dari arus globalisasi, maka apa nilai ‘bangsa itu mempunyai jiwa’?

Kemajuan sesuatu bangsa itu terletak kepada kemampuan terus kekal relevan dan bukan sekadar sentimen dan rhetorik. Tanggung jawab orang Melayu menentukan Bangsa Melayu terus kekal relevan dalam era cabaran dan dinamism globalisasi ini.

No comments:

Post a Comment