Tuesday, August 31, 2010

Kesan Pelaksanaan PPSMI

Semenjak PPSMI, kualiti pelajar Melayu yang dihantar ke negara luar, terutama Barat dalam applikasi sains dan teknologi telah pun menampakan peningkatan kadar yang membanggakan. Pencernaan minda mereka, terutama kemampuan untuk meraih segala maklumat dan ilmu yang begitu mudah dijana dalam era ICT ini, mula terserlah.






Penguasaan mengapplikasikan sains dan teknologi menggunakan Bahasa Inggeris juga menampakan kemampuan berkommunikais dan interaksi, keyakinan, keterampilan dan jatidiri yang membanggakan.





Menurut satu memorandum yang dikarang bersama oleh sebelas pertubuhan pendidikan sekitar hujung tahun 2007, dinyatakan bahawa kajian-kajian telah dijalankan untuk membuktikan bahawa PPSMI membawa kesan negatif di peringkat sekolah rendah, termasuk amaran dari Kongres Pendidikan Melayu Kedua bahawa 500,000 orang pelajar Melayu akan keciciran dalam mata pelajaran terbabit kerana lemah menguasai bahasa Inggeris; formula-formula "2-4-3" dan "6-2-3-2" bagi SJK(C) bukan sahaja menjejaskan pembelajaran Sains dan Matematik, bahkan juga bahasa Cina dalam kalangan murid-murid.





Malah, memorandum tersebut turut menyentuh satu laporan kajian UNESCO yang turut menegaskan bahawa pembelajaran mata pelajaran terpenting di peringkat sekolah rendah lebih sesuai diajar dalam bahasa setempat. Laporan berkenaan bertajuk Education for All: Policy Lessons From High-Achieving Countries yang dikarang oleh Santosh Mehrotra pada tahun 1998. Mehrotra menegaskan lagi kepentingan mengutamakan bahasa ibunda sebagai bahasa perantara dalam buku yang dikarangnya bersama Enrique Delamonica bertajuk Eliminating Human Poverty: Macroeconomic & Social Policies for Equitable Growth yang mencatatkan pemerhatian terhadap persada pendidikan di benua Asia Selatan dan Afrika sub-Saharamendapati bahawa jika bahasa perantara bukan bahasa ibunda, lebih-lebih lagi jika ibu bapa pelajar itu buta huruf, maka bertambah buruklah masalah belajar dalam persekitaran yang dikelilingi kemiskinan, diiringi tambahnya kemungkinan keciciran bertambah.(wikipedia.com)





Pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris menerbitkan hasil kajian “Kesan Dasar Pengajaran Matematik Dan Sains Dalam Bahasa Inggeris Di Sekolah Rendah” mengenai kesan dasar PPSMI pada April 2008. Tujuan kajian ini ialah untuk melihat kesan dasar penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains di sekolah (PPSMI), terutama di sekolah rendah: sejauh manakah dasar ini berkesan untuk meningkatkan pembelajaran dan prestasi murid dalam kedua-dua mata pelajaran ini; dan sejauh manakah ia meningkatkan kemahiran pelajar dalam Bahasa Inggeris, seperti yang diharapkan oleh Kerajaan apabila dasar ini diumumkan dalam Julai 2002, dan mula dilaksanakan pada awal tahun 2003.





Dalam kajian tersebut, lebih 80% murid menyatakan yang guru Matematik dan Sains mereka mengguna campuran Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia untuk mengajar kedua-dua mata pelajaran ini. Purata lebih 70% murid menyatakan mereka ‘tidak faham atau kurang faham’ pengajaran guru Matematik dan dan 80% Sains dalam Bahasa Inggeris, dan mereka ‘sukar ataun agak sukar’ mempelajari kedua-dua mata pelajaran ini.





Prestasi murid dalam Ujian Matematik dan Sains rendah, terutama item-item yang memerlukan murid membaca arahan dalam Bahasa Inggeris dan ‘menyelesaikan masalah’. Kelemahan ini nyata sekali di kalangan murid Melayu dan murid Orang Asli, berbanding murid Cina dan India. Dapatan dari kajian-kajian ini cuba memperlihatkan bahawa objektif asal dasar PPSMI tidak tercapai malah menyusah dan melemahkan lagi pembelajaran Matematik dan Sains pelajar.





Melalui kajian ini, disyorkan Kerajaan mengkaji semula dasar PPSMI ini dan mengguna semula Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains sekolah rendah dan menengah, kerana guru dan pelajar sudah pun mahir untuk belajar dalam bahasa kebangsaan. Ia akan mengukuh pembelajaran asas Matematik dan Sains di peringkat awal lagi.





Untuk meningkatkan prestasi Bahasa Inggeris, peruntukan masa untuk pengajaran-pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah rendah perlu ditambah. Kaedah alternatif pengajaran-pembelajaran Bahasa Inggeris perlu digalakkan dan diguna untuk murid berlainan kebolehan, terutama di sekolah kebangsaan di luar bandar. Bahan bacaan dari pelbagai bidang seperti sastera, sains dan teknologi, sejarah dan geografi boleh diguna dalam pelajaran Bahasa Inggeris untuk membina kecekapan pelajar menguasai kemahiran membaca dan menulis Bahasa Inggeris secukupnya, supaya mereka dapat mengakses maklumat yang kaya dalam sains, teknologi, sastera dan sains social (April, 2008)

No comments:

Post a Comment