Friday, August 20, 2010

Pengenalan

PPSMI telah termaktub sebagai keputusan dasar kerajaan Malaysia hasil daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 19 Julai 2002.
Pelaksanaan PPSMI adalah secara berperingkat, bermula pada sesi persekolahan tahun 2003 dengan perintisnya ialah semua murid Tahun 1 untuk peringkat Sekolah Rendah dan Tingkatan 1 serta Tingkatan 6 Rendah untuk peringkat Sekolah Menengah.

Pelaksanaan penuh PPSMI ialah pada tahun 2007 untuk peringkat Sekolah Menengah sementara peringkat Sekolah Rendah ialah pada tahun 2008.

Rasional kepada peralihan bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris adalah atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju dan persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing dalam era globalisasi.

Umum mengetahui bahawa sains dan matematik adalah bidang yang menjadi asas dan berperanan penting dalam kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Pelbagai inovasi dan penemuan baru dalam bidang ini berlaku dengan pantas dan capaian maklumat mengenai perkembangan dalam bidang ini banyak terdapat dalam bahasa Inggeris.
Selain itu, bahasa Inggeris adalah bahasa hubungan antarabangsa dan penguasaan dalam bahasa ini memudahkan perolehan ilmu dalam bidang ini.

Kesimpulannya, keputusan dasar untuk melaksanakan PPSMI bertujuan memastikan penguasaan yang lebih baik dalam sains dan matematik di kalangan murid memandangkan sebahagian besar sumbernya adalah dalam bahasa Inggeris. Secara tidak langsung, pelaksanaan PPSMI diharapkan akan turut meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid.

No comments:

Post a Comment