Tuesday, August 31, 2010

Latar Belakang PPSMI

Sebelum isu PPSMI terus kita bincangkan lagi, penulis rasa wajar untuk penulis menerangkan dengan lebih lanjut tentang PPSMI.Sebenarnya, PPSMI telah termaktub sebagai keputusan dasar kerajaan Malaysia hasil daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 19 Julai 2002. Pelaksanaan PPSMI adalah secara berperingkat, bermula pada sesi persekolahan tahun 2003 dengan perintisnya ialah semua murid Tahun 1 untuk peringkat Sekolah Rendah dan Tingkatan 1 serta Tingkatan 6 Rendah untuk peringkat Sekolah Menengah. Pelaksanaan penuh PPSMI ialah pada tahun 2007 untuk peringkat Sekolah Menengah sementara peringkat Sekolah Rendah ialah pada tahun 2008.




Rasional kepada peralihan bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris adalah atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju dan persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing dalam era globalisasi.



Umum mengetahui bahawa sains dan matematik adalah bidang yang menjadi asas dan berperanan penting dalam kemajuan dan pembangunan sesebuah negara.Pelbagai inovasi dan penemuan baru dalam bidang ini berlaku dengan pantas dan capaian maklumat mengenai perkembangan dalam bidang ini banyak terdapat dalam bahasa Inggeris.Selain itu, bahasa Inggeris adalah bahasa hubungan antarabangsa dan penguasaan dalam bahasa ini memudahkan perolehan ilmu dalam bidang ini.



Ketika mencadangkan dasar ini, Tun Dr Mahathir berpendapat bahawa Malaysia makin ketinggalan dalam arus globalisasi, dan diharapkan dasar ini memberi kelebihan kompetitif kepada negara, mencontohi kejayaan Singapura dan India yang semakin melangkah ke depan kerana kebiasaan dengan bahasa Inggeris (wikipedia.com).



Kesimpulannya, keputusan dasar untuk melaksanakan PPSMI bertujuan memastikan penguasaan yang lebih baik dalam sains dan matematik dalam kalangan murid memandangkan sebahagian besar sumbernya adalah dalam bahasa Inggeris. Secara tidak langsung, pelaksanaan PPSMI diharapkan akan turut meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid. (Portal Rasmi KPM)





GOLONGAN YANG MENENTANG PPSMI



Sejak pelaksanaannya lagi, PPSMI banyak menghadapi pembidasan dan tentangan berkenaan idea dan pelaksanaannya dari pelbagai pihak termasuk ahli politik, akademik, ibu bapa dan pelajar sendiri.Antara isu-isu yang diketengahkan pihak-pihak tersebut termasuklah kesukaran murid-murid mengikuti pelajaran dan guru-guru menyesuaikan diri kepada perubahan bahasa perantara, serta kesannya terhadap penguasaan bahasa ibunda murid-murid, terutama di peringkat sekolah rendah.



Menurut Datuk A Aziz Deraman dalam artikelnya “PPSMI: Ke Manakah Selepas UPSR 2008?”, seawal tahun 2002 (sebelum PPMI dilaksanakan) , terdapat bantahan dan teguran daripada kalangan para pejuang bahasa, pemikir, budayawan, sarjana dan pendidik. Mereka yakin kelemahan penguasaan BI patut diperbaiki melalui aspek pengajaran dan pembelajaran bahasa itu bukan dengan mengorbankan subjek yang begitu penting.



Sebenarnya masalah penguasaan Bahasa Inggeris ada kaitannya dengan kaedah pengajaran dan pembelajarannya.Isunya adalah keupayaan mempelajari, menguasai dan menggunakan BI dengan baik.Sesungguhnya tidak ada seorang pun pejuang bahasa menentang pembelajaran Bahasa Inggeris.Bahkan mereka mahukan beberapa bahasa utama dunia ikut diajarkan.Soalnya kaedah. Apakah pembangunan negara dan pembinaan bangsa kita itu mesti diacuankan melalui bahasa asing, sebab bahasalah yang akan mencorakkan kehidupan kebudayaan bangsa pada masa depan? Dalam kes bantahan ini, soal semangat kebangsaan Melayu bukan isu yang ditimbulkan.Juga tidak ada pandangan yang menuduh mereka yang cintai BI itu bermakna kurang semangat nasionalisme.



Apa yang dipertahankan oleh para pejuang dan pendidik adalah soal ilmu, betapa berkesannya kalau diajar dalam bahasa sendiri. Manakala kelemahan Bahasa Inggeris sebagaimana yang didakwa itu seharusnya diselesaikan melalui kaedah pengajaran dan pendidikan bahasa, bukan dalam melalui subjek yang lain.



Anak-anak Inggeris, Australia, New Zealand atau di Amerika sekalipun, tidak semuanya pandai sains dan matematik walhal diajar dalam bahasa mereka sendiri. Maknanya antara tujuan memperoleh ilmu dengan menguasai bahasa ada perbezaan yang nyata. Bagi pejuang bahasa, jika pun PPSMI tidak gagal sekalipun, mungkin kita akan menemui kegagalan dalam mencorak tamadun bangsa dan tradisi keilmuan dalam bahasa sendi ( klikdbp: berita harian)



Persatuan Linguistik Malaysia Dan Kumpulan Prihatin ,ABIM dalam artikel “Menolak Usaha PPSMI di peringkat sekolah hinggakan IPT” ternyata dengan terang-terang menolak penerusan PPSMI. Menurut mereka , hakikatnya kini PPSMI bukan hanya melibatkan dua mata pelajaran sahaja tetapi sejak dilaksanakan pada 2003, ternyata bahawa sebenarnya kini lebih 80% kursus di sekolah menengah dan IPT telah diajar dalam bahasa Inggeris.



Mereka meminta supaya kajian yang “lebih” jujur dan tidak berkepentingan oleh pelbagai pihak termasuk oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron dan kajian Prof. Dr. Norhashimah Jalaluddin di bawah payung UKM-DBP dalam Siri Bicara Bahasa Bil.15, 2002 terbitan PLM & DBP dirujuk dan diberi perhatian.



Kajian tersebut menunjukkan mereka yang di bandar dan mereka yang dari keluarga yang berpendapatan tinggi mendapat manfaat dari PPSMI manakala majoriti pelajar luar bandar lebih terdera.Dengan PPSMI jurang antara bandar dan luar bandar semakin melebar.Yang menjadi mangsa pasti majoritinya Melayu kerana mereka kira-kira 70% penduduk luar bandar dan ini amat tidak adil kerana mereka dinafikan pendidikan berkualiti.Tujuan seluruh usaha ini ialah untuk meningkatkan penguasaan BI pelajar.Tetapi ini telah dilakukan dengan meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan budaya tinggi. (12 September 2008)



Terbaru, tentangan terhadap PPSMI juga dibuat oleh Tun Abdul Rahman Yaakob . Dalam artikel “Ajar Sains, Matematik dalam BM” di akhbar Utusan bertarikh 13 November 2008, beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak dari 1970 hingga 1981 dan Yang Dipertua Negeri Sarawak selama lima tahun bermula 1981 serta juga bekas Menteri Pelajaran yang bertanggungjawab melaksanakan sistem pendidikan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pada tahun 1970, berkata kedudukan Bahasa Malaysia (BM) akan terus terpinggir sekiranya subjek Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris (BI). Bahasa Malaysia patut dikembalikan menjadi bahasa pengantar bagi meningkatkan peranan bahasa tersebut dalam sistem pendidikan negara. Pendapat beliau diutarakan selepas menyampaikan ceramah pada Wacana Ilmu: Pembangunan Pendidikan Di Sarawak.



Menurut beliau lagi, isu yang membabitkan pendidikan negara perlu diserahkan kepada pakar pendidikan untuk merancang sementara tugas ahli politik adalah menerima segala cadangan sebelum sesuatu dasar pendidikan diperkenal dan dilaksanakan. Sekiranya sesuatu keputusan berkaitan sistem pendidikan negara dibuat oleh golongan bukan benar-benar pakar dalam bidang tersebut, ia mungkin gagal mencapai objektif yang dikehendaki. Semasa ceramahnya yang dianjurkan Institut Aminudin Baki itu, Abdul Rahman menyatakan bahawa tindakan menggunakan BI merupakan tindakan mundur ke belakang dan bukan ke depan.





KAJIAN KESAN PELAKSANAAN PPSMI



Menurut satu memorandum yang dikarang bersama oleh sebelas pertubuhan pendidikan sekitar hujung tahun 2007, dinyatakan bahawa kajian-kajian telah dijalankan untuk membuktikan bahawa PPSMI membawa kesan negatif di peringkat sekolah rendah, termasuk amaran dari Kongres Pendidikan Melayu Kedua bahawa 500,000 orang pelajar Melayu akan keciciran dalam mata pelajaran terbabit kerana lemah menguasai bahasa Inggeris; formula-formula "2-4-3" dan "6-2-3-2" bagi SJK(C) bukan sahaja menjejaskan pembelajaran Sains dan Matematik, bahkan juga bahasa Cina dalam kalangan murid-murid.



Malah, memorandum tersebut turut menyentuh satu laporan kajian UNESCO yang turut menegaskan bahawa pembelajaran mata pelajaran terpenting di peringkat sekolah rendah lebih sesuai diajar dalam bahasa setempat. Laporan berkenaan bertajuk Education for All: Policy Lessons From High-Achieving Countries yang dikarang oleh Santosh Mehrotra pada tahun 1998. Mehrotra menegaskan lagi kepentingan mengutamakan bahasa ibunda sebagai bahasa perantara dalam buku yang dikarangnya bersama Enrique Delamonica bertajuk Eliminating Human Poverty: Macroeconomic & Social Policies for Equitable Growth yang mencatatkan pemerhatian terhadap persada pendidikan di benua Asia Selatan dan Afrika sub-Saharamendapati bahawa jika bahasa perantara bukan bahasa ibunda, lebih-lebih lagi jika ibu bapa pelajar itu buta huruf, maka bertambah buruklah masalah belajar dalam persekitaran yang dikelilingi kemiskinan, diiringi tambahnya kemungkinan keciciran bertambah.(wikipedia.com)



Pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris menerbitkan hasil kajian “Kesan Dasar Pengajaran Matematik Dan Sains Dalam Bahasa Inggeris Di Sekolah Rendah” mengenai kesan dasar PPSMI pada April 2008. Tujuan kajian ini ialah untuk melihat kesan dasar penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains di sekolah (PPSMI), terutama di sekolah rendah: sejauh manakah dasar ini berkesan untuk meningkatkan pembelajaran dan prestasi murid dalam kedua-dua mata pelajaran ini; dan sejauh manakah ia meningkatkan kemahiran pelajar dalam Bahasa Inggeris, seperti yang diharapkan oleh Kerajaan apabila dasar ini diumumkan dalam Julai 2002, dan mula dilaksanakan pada awal tahun 2003.



Dalam kajian tersebut, lebih 80% murid menyatakan yang guru Matematik dan Sains mereka mengguna campuran Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia untuk mengajar kedua-dua mata pelajaran ini. Purata lebih 70% murid menyatakan mereka ‘tidak faham atau kurang faham’ pengajaran guru Matematik dan dan 80% Sains dalam Bahasa Inggeris, dan mereka ‘sukar ataun agak sukar’ mempelajari kedua-dua mata pelajaran ini.



Prestasi murid dalam Ujian Matematik dan Sains rendah, terutama item-item yang memerlukan murid membaca arahan dalam Bahasa Inggeris dan ‘menyelesaikan masalah’.Kelemahan ini nyata sekali di kalangan murid Melayu dan murid Orang Asli, berbanding murid Cina dan India. Dapatan dari kajian-kajian ini cuba memperlihatkan bahawa objektif asal dasar PPSMI tidak tercapai malah menyusah dan melemahkan lagi pembelajaran Matematik dan Sains pelajar.



Melalui kajian ini, disyorkan Kerajaan mengkaji semula dasar PPSMI ini dan mengguna semula Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains sekolah rendah dan menengah, kerana guru dan pelajar sudah pun mahir untuk belajar dalam bahasa kebangsaan. Ia akan mengukuh pembelajaran asas Matematik dan Sains di peringkat awal lagi.



Untuk meningkatkan prestasi Bahasa Inggeris, peruntukan masa untuk pengajaran-pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah rendah perlu ditambah.Kaedah alternatif pengajaran-pembelajaran Bahasa Inggeris perlu digalakkan dan diguna untuk murid berlainan kebolehan, terutama di sekolah kebangsaan di luar bandar. Bahan bacaan dari pelbagai bidang seperti sastera, sains dan teknologi, sejarah dan geografi boleh diguna dalam pelajaran Bahasa Inggeris untuk membina kecekapan pelajar menguasai kemahiran membaca dan menulis Bahasa Inggeris secukupnya, supaya mereka dapat mengakses maklumat yang kaya dalam sains, teknologi, sastera dan sains social (April, 2008)





REAKSI SELEPAS KEPUTUSAN UPSR 2008 DIUMUMKAN



Isu PPSMI menjadi lebih hangat lagi apabila keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diumumkan pada 13 November 2008. Semua orang ingin mengetahui prestasi 518,616 calon menduduki UPSR tahun 2008 lantaran mereka adalah kumpulan pertama yang terbabit dalam PPSMI sejak Tahun Satu.



Seramai 46,641 atau 9.2% daripada 518,616 calon (UPSR) tahun ini memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimudin Mohd. Dom berkata, keputusan tersebut adalah lebih baik berbanding purata 7.8 peratus yang mencapai keputusan yang sama untuk tempoh lima tahun sebelumnya. Beliau berkata, Gred Purata Kebangsaan (GPK) untuk tahun ini juga bertambah baik pada pointer 2.36 berbanding purata 2.39 untuk tempoh lima tahun lepas." (Utusan 13 November 2008)



Dalam melihatkan kejayaan keputusan UPSR yang meningkat, kita dikejutkan pula dengan berita dua sekolah di Sabah gagal UPSR 100 peratus.Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd. Dun telah melahirkan rasa kecewanya dengan pencapaian buruk dua buah sekolah rendah di Beaufort dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 yang gagal 100 peratus Sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kebulu yang hanya mempunyai lima murid dan SK Kepawa yang mempunyai lapan murid.

Pencapaian UPSR 2008 yang buruk bukan sahaja di SK Kebulu dan SK Kepawa tetapi juga hampir di semua 41 buah sekolah yang terdapat di Beaufort.sekolah lain yang turut mengalami kemerosotan ialah SK Jabang yang hanya seorang yang lulus, SK Bentuka (2), SK Blah Batu 65 (3), SK Karangan (2), SK Nukahan (2) dan SK Kota Klias (4). (Utusan 28 November 2008)



Keputusan UPSR 2008 tetap ditunggu lantaran UPSR 2008 dianggap sebagai penanda aras keberkesanan PPSMI dan penentu penerusan atau tidak PPSMI oleh kementerian pelajaran walaupun sebelum keputusan keluar Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan bahawa keputusan kerajaan berhubung pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah rendah tidak akan dibuat semata-mata berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.



Menurutnya lagi, kementerian perlu mengumpul semua pendapat dan cadangan dan berharap mencapai konsensus berhubung perkara ini. Mereka juga perlu meneliti kesan sistem itu antaranya terhadap sekolah di bandar dan luar bandar, terhadap berbilang kaum dan juga sukatan pelajaran di sekolah rendah dan menengah. Pihaknya mahu mengumpul sebanyak mungkin maklumat dan maklumbalas bagi mencapai satu keputusan yang baik yang diterima semua kerana keputusan ini memberi kesan kepada jutaan pelajar sekolah rendah pada depan. (bernama.com 15 Julai 2008)



Kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pelajaran ternyata disokong oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail. Katanya, keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bukan pengukur utama dalam membuat keputusan mengenai dasar pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI). Pelbagai aspek lain akan diteliti oleh kementerian sebelum keputusan muktamad mengenai perkara itu dibuat. Kementerian akan meneliti semua pandangan dan cadangan termasuk daripada persidangan meja bulat berkaitan pelaksanaan PPSMI .Matlamat persidangan ini untuk menyediakan satu platform bagi perkongsian pendapat dan cadangan mengenai pelaksanaan dan hala tuju PPSMI. (Utusan, 22 Oktober 2008)



Sebelum itu, Ketua Pengarah Pelajaran pernah juga memberi komen "Kedudukan sekarang boleh dikatakan 50-50" selepas menghadiri Persidangan Meja Bulat dalam Menentukan Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris pada 27 Ogos 2008. Dalam erti kata lain, hasil persidangan tersebut, bilangan yang menyokong dasar PPSMI dikekalkan berbanding dengan yang mahu balik ke pangkal jalan adalah sama bilangannya, walaupun hujah-hujah yang lebih akademik dan berasaskan penyelidikan berpihak kepada yang mahu balik ke pangkal jalan.



Bagaimanapun, hal ini disangkal oleh Dr. Shaharir Mohd Zain,iaitu salah seorang yang hadir dalam pertemuan pada Menuirutnya, pernyataan tersebut agak kontra dengan kenyataan sebenar. Menurut beliau, dari segi sambutan hadirin itu didapati 14 wakil (9 Badan Bukan Kerajaan dan 5 individu) yang mahu balik ke pangkal jalan (hentikan PPSMI); 6 pihak yang boleh dianggap neutral atau ikut ketua atau perintah (4 individu, 1 wakil Badan Bukan Kerajaan dan 1 UMNO yang tak sepatut diambil kira); dan 7 pihak yang mahu PPSMI diteruskan (6 individu, 1 Badan Bukan Kerajaan). Jelasnya, majoriti perwakilan di Meja Bulat ini mahu PPSMI dihentikan segera. (www.prihatin.net)



Ketika artikel ini ditulis, KPM dijangka akan membentangkan analisis keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2005-2007 serta peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 di dalam persidangan tersebut.



Namun Menteri Pelajaran seolah-olah membayangkan bahawa PPSMI akan diteruskan. Kenyataan yang dikeluarkannya dalam Berita Harian pada 13 November 2008, iaitu bahawa PPSMI yang dilaksanakan sejak 2003 tidak gagal dan keputusan UPSR yang diumumkan pada hari tersebut membuktikannya.



Hal ini tentunya menimbulkan kebimbangan pihak yang menolak penerusan PPSMI. Khairul Anwar Bin Shazali Setiausaha Agung, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dalam artikel “PKPIM Sokong Bahasa Melayu Untuk Sains Dan Matematik’ ternyata mewakili PKPIM menolak penerusan PPSMI dan sebaliknya menyokong penuh saranan Tun Abdul Rahman Ya'kub agar pengajaran Sains dan Matematik dikembalikan kepada bahasa Melayu, sesuai dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini. PKPIM semenjak daripada awal pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris telah menyuarakan bantahan terhadap pendekatan tersebut dan sehingga kini PKPIM tetap tegas dengan pendirian bahawa pengajaran Sains dan Matematik harus dikembalikan kepada Bahasa Melayu.



PKPIM bersetuju dengan kenyataan Tun Abdul Rahman Ya'kub bahawa dasar pengajaran dalam Bahasa Melayu yang telah dimulakan semenjak tahun 1970 telah berjaya melahirkan banyak pakar dalam bidang Sains dan Matematik. Malah, tidak ada bukti yang kukuh untuk menyokong dakwaan sesetengah pihak bahawa kononnya pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu akan menyebabkan para pelajar di negara ini sukar untuk bersaing ke peringkat tertinggi.



Justeru, PKPIM sekali lagi mengulang desakan agar pengajaran Sains dan Matematik dikembalikan semula kepada Bahasa Melayu. PKPIM yakin dan percaya bahawa pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu akan lebih membantu para pelajar di negara ini untuk menguasai kedua-dua matapelajaran itu dengan lebih baik. Dalam masa yang sama, PKPIM juga tidak menolak kepentingan mempelajari bahasa asing seperti Bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, penguasaan bahasa asing tersebut haruslah dibuat dengan memperkasakan kaedah pembelajaran bahasa itu sendiri, dan bukannya dengan mengorbankan subjek Sains dan Matematik sehingga ditukar bahasa pengantarnya.



PKPIM juga memaklumkan bahawa mereka telah memohon kepada Dato’ Haji Alimuddin, Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk menyertai Persidangan Meja Bulat Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ke-5.



Surat yang dihantar kepada Dato’ Haji Alimuddin melalui faks pada 17 November yang lepas adalah berikutan daripada cadangan penganjuran persidangan tersebut untuk mendapatkan pandangan ahli akademik, profesional pendidikan, badan bukan kerajaan, persatuan ibu bapa dan guru serta pihak berkepentingan yang lain berhubung hala tuju program PPSMI. Justeru, PKPIM mewakili suara pelajar Malaysia merasakan amat penting untuk menyatakan pendirian dan pendapat yang telus dan tulus demi kebaikan dan masa depan pelajar Malaysia seluruhnya. Ketika artikel ini ditulis, tiada maklumat terkini sama ada keinginan PKPIM untuk menyertai persidangan tersebut dipenuhi atau tidak oleh KPM.



Terkini (ketika artikel ini ditulis), Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein seolah-olah membayangkan akan meneruskan PPSMI pada tahun akan datang apabila menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran yakin Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dapat dilaksanakan dengan baik walaupun sentiasa menerima pandangan berbeza daripada pelbagai pihak. Katanya, kementerian mengambil kira pendapat semua terutama pakar dalam soal pendidikan dan berharap ia akan dapat digunakan bagi mencari mekanisme terbaik untuk menjayakannya.



Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terbaru berhubung pelaksanaan PPSMI yang menerima pandangan berbeza daripada banyak pihak selepas merasmikan Kursus Pelaksanaan Nilai-Nilai Murni Kebudayaan Tradisional Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 24 November 2008. ( Utusan.com.my 25 November 2008)



Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Alimuddin Mohd Dom melaporkan bahawa terdapat 159,234 orang murid (31% dari keseluruhan pelajar) menjawab kertas Sains dalam bahasa Inggeris sementara untuk kertas Matematik, bilangannya adalah 238,153 orang (46%). Hal ini dilihat sebagai satu gambaran yang positif tentang PPSMI.



Namun, Mohd Sabri Mohd Arshad membidas bahawa jumlah sebanyak 31.1 peratus murid-murid yang menguasai pembelajaran itu khususnya subjek sains ataupun matematik adalah dari kalangan mereka yang tinggal di bandar dan mempunyai latar belakang keluarga berpendidikan. Mereka yang tinggal di luar bandar masih lagi menggunakan bahasa ibunda, maka memberi kesan kepada jurang perbezaan yang jauh. (wikipedia.com)



Tertarik penulis dengan artikel 'Bahasa Sumber Ilmu Bukan Masalah Besar' yang ditulis oleh Prof. Dr. Awang Sariyan Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia - China Universiti Pengajian Asing Beijing, ketika menjawab kenyataan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Wacana Dilema Melayu anjuran Gapena baru-baru ini ( bahawa Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) patut diteruskan), menyatakan bahawa hujah Dr. Mahathir bahawa bangsa Arab menjadi maju kerana mempelajari bahasa Greek untuk menguasai sains dan teknologi juga ternyata meleset.



Mempelajari bahasa asing dan menggunakan bahasa asing untuk mengembangkan ilmu kepada masyarakat atau bangsa merupakan dua hal yang sama sekali berbeza. Maka itu tidak ada pejuang bahasa manapun yang menolak hakikat pentingnya kita mempelajari dan menguasai bahasa asing sebagai jambatan ilmu dan tamadun. Namun, PPSMI bukan program pembelajaran bahasa asing, sebaliknya program pengembangan ilmu kepada bangsa kita dalam bahasa asing!

Menurutnya lagi, orang Arab yang mempelajari dan menguasai bahasa Greek ialah para sarjananya, sementara ilmu kepada masyarakat dan bangsanya dikembangkan dalam bahasa Arab.Hal yang sama dilakukan oleh bangsa-bangsa Barat yang memperoleh pelbagai disiplin ilmu daripada sarjana Arab. Mereka mempelajari dan menguasai bahasa Arab untuk memindahkan ilmu dalam bahasa Arab ke dalam bahasa mereka sendiri. Oleh itu bangsa Barat tidak menggunakan bahasa Arab untuk mengembangkan ilmu kepada bangsa mereka, tetapi sebaliknya menggunakan bahasa mereka sendiri. Itulah hakikat jalan sejarah perkembangan tamadun di dunia. Seluruh bangsa dan negara yang besar dan maju di dunia sekarang ini pun masih tetap memajukan bangsa dan negara mereka dalam bahasa masing-masing.



Angkasawan kita yang ditumpangkan dalam Soyuz Rusia pun terpaksa beberapa bulan mempelajari bahasa Rusia untuk mengikuti misi ke angkasa lepas. Kekuatan bahasa Inggerisnya rupa-rupanya belum cukup melayakkan dia untuk diterima mengikuti misi tersebut! (Utusan Malaysia bertarikh 26/112008)





PENUTUP



Isu PPSMI menjadikan kita saling berbeza pendapat. Terdapat golongan yang menyokong agar diteruskan PPSMI namun masih ramai juga golongan terutama para ilmuwan, cerdik pandai dalam bidang bahasan mahupun sains yang menolak penerusan PPSMI. Namun tiada pula statistik tentang bilangan mereka yang menyokong atau menentang PPSMI.



Dalam artikel ini, penulis mengakui bahawa penulis tidak membincangkan tentang golongan yang menyokong PPSMI. Bukanlah kerana penulis menentang PPSMI tetapi kekurangan ini disebabkan penulis kekurangan maklumat. Kemungkinan artikel penulis kelihatan berat sebelah, tetapi penulis hanya melaporkan dan mengupas isu ini berdasarkan maklumat yang penulis peroleh daripada pelbagai sumber. Berdasarkan kajian yang penulis lakukan, terlalu banyak maklumat yang boleh diperoleh tentang siapa yang menentang PPMI dan sebab musabab penentangnya mereka (seperti yang telah penulis bincangkan). Kebanyakan alasan yang diberi berlandaskan bukti kukuh dan berdasarkan kajian yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu.



Namun bagi pihak yang menyokong PPSMI, pendapat dan suara mereka tidak banyak yang didedahkan kepada umum. Kalaupun ada, suara yang menyokong PPSMI ini lebih menekankan akan kepentingan bahasa Inggeris dalam meningkatkan penguasaan pelajar dalam mata pelajaran Matematik dan Sains. Sokongan supaya diteruskan PPSMI juga lebih menjurus tentang kedudukan bahasa Inggeris yang menguasai dunia ilmu pengetahuan dan betapa bahasa Inggeris amat penting dalam menentukan masa depan negara dan generasi akan datang. Secara umumnya, golongan yang menyokong PPSMI memberi gambaran bahawa bahasa Inggeris amat penting dan diperlukan dalam melahirkan warga Malaysia yang mampu berdaya saing dengan negara lain dalam dunia globalisasi kini..



Sama ada menguburkan PPSMI atau membiarkannya berkembang mekar, keputusan kini terletak pada tangan Kementerian Pelajaran. KPM di bawah pimpinan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sememangnya cuba membuat kajian yang menyeluruh dalam menentukan nasib generasi akan datang dan nasib bahasa rasmi negara kita iaitu bahasa Melayu. Tentunya hasil dapatan para ilmuan tidak dikesampingkan tetapi sebaliknya diguna pakai untuk menentukan hala tuju pendidikan negara.



Apapun keputusan yang bakal diambil oleh Kementerian Pelajaran, hendaklah kita terima dengan hati terbuka dan berfikiran positif. Namun diharapkan agar PKM dapat menyelesaikan masalah ini dengan sebaik-baiknya demi kepentingan anak bangsa dan kemajuan negara. Janganlah nanti, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Biarlah keputusan yang bakal diambil merupakan tindakan yang memberi kebaikan kepada semua pihak, menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.



Janganlah kiranya pula isu PPSMI menjadi kita saling bertelingkah sehingga meletakkan kita dalam gelombang perpecahan. Kita wajar mengeratkan lagi hubungan dan aspek perpaduan harus dititik beratkan. Isu PPSMI berkaitan isu bahasa. Sepatutnya bahasa dapat menyatupadukan rakyat tetapi sebaliknya yang berlaku. Dalam situasi sekarang, amat diharapkan agar jangan ada yang meneguk di air keruh. Jangan juga ada pihak yang menjadikan isu PPSMI sebagai isu perkauman kerana kesannya hanya akan merugikan rakyat dan negara kita sendiri, sedangkan orang luar bertepuk tangan dan menunggu masa untuk mengambil kesempatan.

1 comment: